Honda Malaysia Cipta Sejarah Rekod Jualan Tertinggi

0
411

KUALA LUMPUR – Honda Malaysia Sdn. Bhd. (Honda Malaysia) mencipta sejarah apabila mencatatkan jualan tertinggi kenderaan berjenama import itu di Malaysia pada tahun lalu iaitu sebanyak 109,511 unit.

Honda Malaysia dalam satu kenyataan media berkata, statistik jualan tertinggi yang pernah dicipta syarikat itu sekali gus memberi keputusan tahunan yang cemerlang buat Honda Malaysia bagi tahun 2017.

“Syarikat merekodkan jualan 109,511 unit iaitu yang tertinggi dalam sejarah Honda Malaysia sejak ia diwujudkan pada tahun 2003.

“Ini juga merupakan kali pertama Honda Malaysia mencapai jualan lebih 100,000 unit. Angka jualan ini juga yang tertinggi jenama import pernah dicapai di Malaysia,”kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu, wilayah tengah Malaysia menyumbangkan peratusan tertinggi jualan pada kadar 47 peratus diikuti oleh rantau Selatan dan rantau Utara.

Jelas Honda Malaysia, jualan keseluruhan kenderaan berjenama import itu bagi tahun 2017 meningkat sebanyak 19 peratus berbanding 91,830 unit yang dicatatkan pada tahun 2016.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, syarikat itu berterima kasih kepada seluruh pelanggannya kerana yakin dengan jenama Honda.

“Pencapaian ini tidak mungkin dilakukan tanpa pelanggan kami serta sokongan kuat rakan perniagaan kami dan kerajaan Malaysia,” katanya.

Statistik jualan Honda Malaysia itu menimbulkan tanda tanya tentang kesahihan dakwaan pembangkang iaitu rakyat Malaysia sedang hidup melarat dan `tak cukup makan’. – MYNEWSHUB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here