Hoki: Tewaskan TNB Thunderbolt 3-1, THT mara ke final Piala Alagendra

0
503

Terengganu Hockey Team (THT) mara ke perlawanan akhir Piala Tan Sri P. Alagendra selepas menidakkan cabaran TNB Thunderbolt 3-1, di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

THT menepati ramalan untuk meneruskan kemaraan, namun kejayaan mereka tidak datang dengan mudah ketika berdepan TNB Thunderbolts yang 100 peratus menggunakan kudrat bakat tempatan.

Seawal minit pertama, THT sudah berada di depan menerusi pukulan sudut penalti Gonzalo Peillat.

Tersentak dengan itu, Thunderbolts mempamerkan corak permainan lebih tersusun. Begitupun, skuad kendalian Amin Rahim itu hanya dapat mencipta jaringan pada suku kedua hasil gol padang Azril Misron.

Kedudukan seimbang itu, bagaimanapun, tidak kekal lama apabila jaringan padang Joaqin Menini kembali meletakkan THT di depan.

Permainan terus rancak dalam suku ketiga dengan Thunderbolts lebih banyak menyerap asakan THT dalam usaha mencari ruang melakukan serangan balas.

Situasi sama turut berlaku dalam suku terakhir apabila THT mendapat penalti stroke selepas Faizal Saari dijatuhkan Muhammad Faiz Aiman dalam kawasan D.

Peillat mudah menyempurnakan peranannya bagi memastikan kemenangan mutlak buat THT untuk selangkah sahaja lagi mengulangi pencapaian musim lalu.

“Kami harus memuji permainan TNB Thunderbolts, mereka bermain dengan cukup baik sekali.

“Mereka bertahan dengan begitu baik sambil melancarkan serangan balas dan serangan kami pula kerap dipatahkan penjaga gol.

“Ini boleh berlaku dalam mana-mana perlawanan. Kami mahukan kemenangan dan kami berjaya mendapatkannya.

“Kini kami perlu membuat persediaan untuk menghadapi aksi final esok,” kata jurulatih THT, Sarjit Singh.

THT akan bertemu seteru utama, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) di final selepas kelab itu menEwaskan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), 3-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here