Hoki: Terengganu, Perak tentukan kejuaraan Piala Razak

0
417

IPOH – Juara bertahan, Terengganu akan bertemu tuan rumah, Perak pada final Kejohanan Hoki Piala Razak Edisi ke-55 di Stadium Azlan Shah, Ipoh, malam ini.

Kedua-dua pasukan mara ke final selepas mengatasi lawan masing-masing di separuh akhir malam tadi.

Terengganu bangkit daripada ketinggalan untuk mengatasi Negeri Sembilan 2-1 manakala Perak mengetepikan Melaka 2-1 melalui penalti ‘sudden death’.

Pada pertemuan Terengganu-Negeri Sembilan, dua jaringan Faizal Saari pada suku ketiga sudah mencukupi untuk membawa anak buah Sarjit Singh ke final.

Sebelum itu, Negeri Sembilan mencemaskan juara bertahan, Terengganu apabila mendahului melalui jaringan Dangerous Lee pada minit ke-26 dan berjaya bertahan selama 41 minit sebelum Faizal memusnahkan impian mereka dengan dua jaringan pada minit ke-42 dan 45.

Sementara tuan rumah, Perak pula diheret ke penentuan penalti ‘shootout’ selepas kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan dalam perlawanan yang berakhir 0-0 di sepanjang masa sebenar.

Penjaga gol veteran, Roslan Jamaluddin muncul wira Perak apabila berjaya menghalang jaringan Dedy Ariyadi Jumaidi sekali gus membawa tuan rumah ke final kali keenam dalam tempoh 11 tahun.

Sebelum itu, Muhammad Haziq Samsul selaku pemain terakhir yang mengambil penalti, menyelamatkan Perak apabila menyamakan kedudukan ketika empat rakannya yang lain gagal melepasi penjaga gol, Mohd Hanafi Hassan untuk memaksa keputusan ditentukan menerusi ‘sudden death’.

Haziq kemudian sekali lagi menumpaskan Hanafi untuk membawa Perak ke final.

Sementara itu, naib juara tahun lalu, PDRM turun ke divisyen dua selepas tumpas 1-3 kepada Johor melalui penalti selepas kedudukan terikat 3-3 manakala Kuala Lumpur menduduki tangga kelima selepas membenam Pulau Pinang 6-1.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here