Hoki: Pemain terbaik dunia perkuat skuad THT

0
2127

KUALA TERENGGANU – Empat pemain kebangsaan Argentina menjadi taruhan Terengganu Hockey Team (THT) dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) musim depan termasuk menghadapi Piala Tan Sri P Alagendra bermula 3 hingga 7 Januari ini.

Turut menjadi sandaran adalah masing-masing seorang pemain dari Jerman dan Pakistan.

Selain itu pemain adik-beradik, Faizal dan Fitri Saari yang sah menjadi milik THT juga bakal menjadi aset berharga buat skuad dari pantai Timur itu dalam misi mempertahankan trofi piala berkenaan yang dimenangi musim ini.

Pengurus THT, Zaki Mohd Noor berkata, empat pemain kelahiran Argentina itu terdiri daripada pakar pukulan sudut penalti terbaik dunia, Ganzalo Peillat yang beraksi di bahagian pertahanan.

“Selain itu tiga lagi pemain kebangsaan Argentina yang bakal memperkuatkan pasukan THT terdiri daripada Joaquin Menini, Pablo Javier Trevisan dan Barreiros Lopez.

“Pemain kelahiran Hamburg, Jerman, Moritz Erhard berusia 27 tahun dan bekas pemain musim ini, Ahmad Shakeer Butt dari Pakistan juga menjadi taruhan THT untuk mengekalkan gelaran tahun kedua berturut-turut merebut trofi piala itu,” katanya.

Ketika ditanya mengenai desas-desus yang mengaitkan Faizal dan Fitri berhijrah ke pasukan lain musim depan seperti penyerang, Firhan Ashari dan Tengku Ahmad Tajuddin Ab Jalil yang sudah mengangkat kaki berhijrah ke Tenaga Nasional Berhad (TNB), Zaki menafikan sebaliknya menyatakan itu hanya spekulasi.

“Dua pemain itu berada dalam radar THT dan antara pemain tonggak pasukan selain enam pemain import dan pemain tempatan lain dalam mengharungi kancah MHL musim depan.

“Kami berharap pemain tempatan dan import yang bakal diumumkan secara rasmi pada Jumaat ini, mampu membawa cabaran skuad THT musim depan apatah lagi bakal diperkuatkan Peillat,” kata Zaki yang percaya skuad bimbingan Sarjit Singh itu mampu menjadi pasukan terbaik musim depan.

Sebelum ini THT, menerima tamparan hebat apabila presidennya, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abd Hamid meletak jawatan.

Turut mengikut jejak yang sama ialah setiausahanya, Marzilaini Muhamad yang sekali gus menimbulkan pertanyaan dalam kalangan peminat mengenai peletakan jawatan secara mengejut itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here