Hati-hati lalu jalan Keruak kerana mendapan tanah (5 Gambar)

0
511

HULU BESUT – Pengguna laluan di Jalan Jertih-Keruak berdekatan Kampung La, Jertih diminta berhati-hati berikutan jalan mendap petang semalam.

Kejadian itu dipercayai berlaku pada 4 petang, menyebabkan terbentuk lubang berukuran 25 meter dan empat meter dalam di laluan yang menghala ke Keruak.

Penduduk Kampung La mendakwa kejadian itu berlaku berpunca daripada air dari Bukit Naga yang tidak dapat mengalir melalui sistem pembetungan dipercayai kerana tersumbat.

Kamarnuddin Abdullah, 50, berkata, ketika dia menunggang motosikal melalui jalan itu kira-kira 3 petang untuk ke Kampung La, dia berasa seperti melanggar lubang tetapi ketika itu belum berlaku mendapan.

Bagaimanapun, menurutnya, kira-kira satu jam kemudian ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Berangan dia mendapati sudah terdapat satu lubang besar akibat tanah mendap.

Katanya, berikutan itu ada penduduk melaporkan kejadian terbabit kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi diambil tindakan segera kerana bimbang dengan keselamatan pengguna terutama kenderaan berat yang menggunakan laluan itu.

“Agak bahaya juga kerana berdekatan dengan lokasi itu terdapat selekoh dan jalannya menuruni bukit.

“Lubang besar yang terbentuk di situ menjejaskan sebelah laluan yang menghubungkan penduduk Hulu Besut dengan bandar Jertih,” katanya.

Sementara itu, Jurutera Daerah JKR Besut, Ir Mohamad Alwi Zain mengesahkan pihaknya ada menerima aduan daripada penduduk kampung berkaitan kejadian tanah mendap terbabit.

Menurutnya, pihaknya sudah mengambil tindakan meletakkan papan tanda keselamatan serta membuat lencongan satu lorong untuk kenderaan ringan.

“Laporan pembaikan akan dibuat untuk pelaksanaan kerja selepas musim banjir nanti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here