Harimau Malaya tidak akan maju selagi ada pemain import – CMJ

0
314

KUALA TERENGGANU – “Selagi ada pemain import, saya membayangkan skuad negara tidak akan berkembang maju dan terus berada di takuk lama,” kata bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Che Mat Jusoh.

Malah bekas presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) berusia 68 tahun itu juga menyatakan kebanjiran pemain import dalam Liga Malaysia (Liga-M) daripada dua kepada empat pemain dalam satu pasukan sebenarnya tidak dapat membantu meningkatkan prestasi pemain tempatan sebaliknya boleh ‘membunuh’ karier mereka kerana pasukan terlalu percayakan pemain import.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas prestasi merudum pasukan bola sepak negara sejak kebelakangan ini termasuk terbaru tewas dua kali kepada Korea Utara 1-4 dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019 di Buriram, Thailand.

“Bohong jika anda kata kehadiran pemain import dari beberapa negara dan pelbagai posisi kecuali penjaga gol dalam Liga-M dapat membantu meningkatkan prestasi pemain tempatan.

“Hujah saya cukup mudah, jika pemain import yang sudah sekian lama beraksi dalam Liga-M betul-betul mengajar dan membantu kemahiran yang mereka ada kepada pemain kita, sudah pasti ada kejayaan yang boleh dibanggakan buat pasukan negara khususnya di peringkat Asia.

“Tapi yang berlaku sebaliknya, ini fakta dan bukannya cakap kosong, anda peminat boleh nilai dan lihat sendiri serta muhasabah prestasi semasa pasukan senior negara hingga ke hari ini masih gagal bersaing terutama di peringkat Asia, bagi saya skuad bawah 19 dan 23 tahun lagi bagus berbanding skuad senior.

“Jika dulu antara pesaing kita adalah Jepun dan Korea Selatan, sepatutnya kini kita sudah setaraf dengan pasukan itu terutama dengan kemasukan ramai pemain import, tapi yang berlaku sebaliknya dan sungguh mendukacitakan, sebab itu saya katakan selagi ada pemain import dalam kancah Liga-M, selagi itulah kita bercakap perkara yang sama setiap kali pasukan negara gagal mara kerana pemain import tidak banyak membantu sebaliknya lebih mementingkan periuk nasi sendiri daripada memberi tunjuk ajar kepada pemain tempatan.

“Malah jika diperhalusi sejak kebelakangan ini mana ada pemain kita menjadi pemain import di negara lain selain Safee Sali seorang, selebihnya pemain kita hanya gah di kampung sendiri tapi bila bersaing di peringkat Asia terus layu,” kata Che Mat.

Berdasarkan rekod pemain import dibenarkan beraksi bermula sekitar 1989 hingga 2008 dan disambung semula pada 2012 dengan dua pemain, bagaimanapun pada 2014 ditambah kepada tiga sebelum ditambah lagi menjadi empat pemain sejak 2015.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here