Geng penjenayah Brazil hampir catat ‘rekod’ rompakan terbesar dalam sejarah dunia

0
664

SAO PAOLO – Sebuah percubaan rompakan bank gaya ‘klasik’ yang ditumpaskan di Sao Paolo baru-baru ini hampir menjadi kes rompakan bank terbesar dalam sejarah dunia, dengan kumpulan perompak melaburkan lebih sejuta dolar sebagai ‘modal memulakan rompakan’.

Pihak polis Brazil menggagalkan percubaan itu apabila sebuah terowong ditemui menghala ke sebuah cawangan Bank of Brazil.

Sejumlah 16 orang ditangkap susulan penemuan tersebut yang disifatkan pasukan penyiasat sebagai usaha yang ‘luar biasa’. Pasukan penyiasat telah menghabiskan masa dua bulan untuk memantau aktiviti tersebut.

Mereka yang ditangkap telah dibawa ke bahagian utara bandar tersebut, iaitu tempat mereka menyiapkan kelengkapan dan perkakasan untuk kerja-kerja menggali terowong.

“Kumpulan perompak itu sanggup melaburkan wang sejumlah AS$1.27 juta (RM5.4 juta) secara perkongsian, dengan setiap ahli mengeluarkan wang (pendahuluan) sekurang-kurangnya sekitar AS$6,300. Semuanya demi mendapatkan sasaran rompakan bernilai AS$317 juta (RM1.34 bilion).

“Ia boleh menjadi rompakan terbesar dunia, jika berjaya,” ujar ketua pasukan penyiasat Fábio Pinheiro Lopes.

Penggalian terowong sejauh 500 meter itu bermula empat bulan lalu dan selesai pada Rabu lepas, sekali gus memberi isyarat kepada pihak berkuasa untuk menyerbu dan menumpaskan kumpulan perompak itu.

Lopes berkata, walaupun kumpulan perompak tidak dapat memasuki bilik kebal, mereka berjaya juga menembusi pintu keselamatan.

Terowong yang digali itu sepanjang 500 meter dan cukup besar untuk pergerakan anggota kumpulan perompak tersebut. – Reuters
Terowong yang digali itu sepanjang 500 meter dan cukup besar untuk pergerakan anggota kumpulan perompak tersebut. – Reuters

“Ketika itulah kami lancarkan serbuan dan menangkap hampir kesemuanya. Kami berjaya menangkap ketua mereka, manakala yang terlepas lari cuma pekerja penggali,” ujar Lopes.

Terowong berkenaan yang ditopang dengan kayu dan kerangka besi, mula digali di bawah sebuah rumah sewa berdekatan bank tersebut.

Pasukan penyiasat berkata, premis itu turut menyimpan banyak bekalan makanan dan perkakasan sepanjang operasi itu dijalankan secara rahsia.

Kumpulan perompak terancang itu, menurut pihak polis, pernah terlibat dalam rompakan Central Bank di Fortaleza pada 2005 dan Bank Itau di Paulista.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here