Ganggu penglihatan penyokong, pagar SSINS direndahkan (4 Gambar)

0
384

KUALA TERENGGANU – Rungutan penyokong skuad Penyu yang menyifatkan ketinggian pagar di dalam Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) mengganggu penglihatan mereka kini mendapat perhatian Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) apabila kerja-kerja merendahkan pagar mula dilaksanakan semalam.

Difahamkan kerja-kerja merendahkan pagar dari ketinggian empat kepada tiga meter giat dijalankan pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang dijangka siap sepenuhnya esok.

Selain merendahkan ketinggian pagar, pihak MBKT turut menambah baik kemudahan peralatan siar raya bagi memberi lebih keselesaan kepada penyokong yang menyaksikan setiap perlawanan membabitkan pasukan Terengganu FC dalam kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Terengganu FC (TFC), Mohd Isa Che Ariffin menyambut baik usaha yang dilakukan PBSNT berhubung perkara itu dan menyifatkan apa yang diluahkan penyokong sebelum ini di ambil ‘cakna’ badan induk bolasepak Terengganu dalam memastikan keselesaan penyokong.

Menurutnya, rungutan itu juga menjadi antara usul yang dikemukakan penyokong ketika sesi dialog bersama Pengerusi Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Rozi Mamat selepas penjenamaan semula pasukan Terengganu sebelum ini.

“Jadi selaku penyokong, kami amat berterima kasih kepada pihak PBSNT kerana mereka bukan sahaja mendengar rungutan bahkan melaksanakannya dan berharap kemudahan-kemudahan lain seperti tandas dapat dinaik taraf dari masa ke masa.

“Justeru, saya memohon kepada semua penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan di SSINS nanti dapat menunaikan tanggungjawab masing-masing agar lebih berdisplin sekaligus membuktikan bahawa penyokong Terengganu sememangnya mengamalkan sikap profesional bukan sahaja di dalam stadium bahkan di luar stadium,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Manakala, penyokong tegar skuad Penyu, Muhammad Syahmi Fikri Sapiai mengakui gembira dengan keputusan itu kerana ia memberi lebih keselesaan buat penyokong ketika menyaksikan perlawanan melibatkan kedua-dua pasukan Terengganu FC di SSINS nanti.

“Sebelum ini ketinggian pagar sedikit menghalang pandangan kami yang secara tidak langsung merencatkan sedikit tumpuan terutamanya apabila perlawanan sedang sengit berlangsung di tengah padang.

“Jadi selepas ini kami boleh melihat aksi perlawanan dengan lebih jelas dan membuatkan kami lebih teruja bukan sahaja memberi sokongan bahkan memenuhkan bangku stadium setiap kali pasukan TFC bersaing,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here