Dua hospital baharu di Dungun, Kemaman dalam proses pelaksanaan

0
962

MARANG – Kementerian Kesihatan meluluskan pembinaan 20 projek pembangunan infra­struktur dan perkhidmatan kesihatan di Terengganu membabitkan kos kira-kira RM817 juta, di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohammad Omar berkata, antara projek utama yang diluluskan ialah pembinaan dua hospital baharu di Dungun dan Kemaman yang ketika ini dalam peringkat pelaksanaan.

Katanya, projek lain pula meliputi pembinaan klinik-klinik ke­sihatan dengan kuarters di sam­ping menaik taraf perkhidmatan hospital.

“Setakat ini satu projek telah disiapkan iaitu Klinik Kesihatan Pulau Redang yang beroperasi pada 1 November 2016 manakala 15 projek lagi masih dalam pembinaan dengan kos keseluruhan RM753 juta.

“Selain hospital, projek itu termasuk membina blok psikiatri di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ); tujuh klinik kesihatan di Kampung Raja di Besut, Marang, Manir, Chendering, Pasir Gajah dan Seberang Tayor di Kemaman serta Tok Kah dan Pasir Raja di Dungun; stor farmasi HSNZ; naik taraf Hospital Kemaman diikuti naik taraf hemodialisis dan sistem penghawa dingin HSNZ,” katanya.

Beliau berkata kepada pembe­rita selepas melawat projek Klinik Kesihatan Marang (jenis 3) de­ngan kuarters di sini hari ini.

Yang hadir sama, jurutera daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR) Marang, Ir. Amalludin Zolkifli.

Mohammad memberitahu, em­pat lagi projek yang belum bermula adalah Klinik Kesihatan Pulau Perhentian, naik taraf sistem gas perubatan HSNZ, wad High Dependancy Hospital Besut dan Klinik Pergigian Pasir Akar di Besut.

Terdahulu, beliau yang turut meninjau dua lagi klinik kesihatan di Manir dan Chendering memberitahu, pembangunan di ketiga-tiga lokasi berkenaan men­dahului jadual ditetapkan.

“Tahniah kepada JKR dan kontraktor terlibat tetapi kita masih belum berpuas hati kerana ini masih di peringkat permulaan.

“Di Klinik Kesihatan Marang ini pelaksanaan sepatutnya pada tahap 46 peratus tetapi kita sudah mencapai 52 peratus dan jika momentum tersebut dikekalkan kita jangka ia dapat disiapkan pada hujung tahun ini, iaitu lebih awal berbanding tarikh 3 Februari 2019 yang ditetapkan,” katanya.

Sumber: Utusan Online

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here