Datuk Boy Iman direman buat kali kelima

0
396

KUBANG PASU – Pengarah Urusan DBI Properties, Datuk Nuruliman A Rahman atau dikenali sebagai Boy Iman, direman dua hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan berhubung penipuan jualan rumah membabitkan nilai RM6.2 juta.

Turut direman tiga pengarah syarikat Juta Kelulut Global Resources berusia antara 30 hingga 45 tahun, termasuk seorang wanita.

Perintah tahanan reman terbabit dikeluarkan Majistret Mahkamah Jitra, Abdul Hadi Hakimi Harun mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Mereka yang berpakaian lokap tiba di mahkamah jam 9 pagi dengan tangan bergari dan diiringi anggota polis.

Boy Iman diwakili peguam, Ummi Kalthum Zakaria manakala tiga yang lain diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Zuriah Mohd Nordin.

Ini adalah penahanan kelima Boy Iman sebelum ditahan reman di Ampang dan Shah Alam, Selangor; Muar, Johor dan Sungai Petani, Kedah.

Siasatan dijalankan polis susulan penipuan jualan rumah yang didakwa dilakukan DBI Properties dan Syarikat Juta Kelulut Global Resources yang turut membabitkan mangsa di Negeri Sembilan, Johor dan terbaru di Selangor.

Boy Iman ditahan di Balai Polis Bukit Indah, Ampang Isnin lalu kerana disyaki terbabit dalam penipuan jualan rumah yang membabitkan kerugian keseluruhan sehingga RM6.2 juta.

Sehingga kini, 203 laporan berhubung penipuan skim perumahan DBI Properties diterima polis daripada mangsa di seluruh negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here