Bekas pemain bola sepak Terengganu maut dilanggar lari

0
1567

KUALA TERENGGANU – Bekas pemain bola sepak Terengganu era 70-an, Abdul Aziz Mohamad Yunus, 74, meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan langgar lari di Jalan Wakaf Beruas, di sini, pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu hanya disedari oleh orang awam yang ternampak arwah terbaring di lokasi dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah.

Arwah meninggal dunia di lokasi kejadian dipercayai dilanggar sebuah kereta ketika hendak melintas jalan sebelum pemandu kenderaan terlibat melarikan diri.

Anak kedua arwah, Mus Adri Shah Abdul Aziz, 40, berkata, dia yang tinggal di Kampung Kubang Parit, di sini, mengetahui kejadian menimpa arwah selepas dihubungi ibunya, iaitu kira-kira jam 7 pagi.

“Ibu yang tinggal di Kampung Wakaf Beruas, di sini, memaklumkan arwah berjalan kaki dari rumah kira-kira jam 6.30 pagi untuk membuang sampah dan bersarapan di warung berhampiran.

“Bagaimanapun, beberapa minit kemudian, ibu dimaklumkan oleh jiran ada menemui ayah terbaring tidak sedarkan diri dan dipenuhi darah dipercayai dilanggar,” katanya kepada Sinar Harian, ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kecil, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian daripada pemandu kereta terlibat.

“Pemandu kereta terlibat membuat laporan ada melanggar seorang pejalan kaki di Jalan Wakaf Beruas, di sini, semasa dalam perjalanan dari pusat bandar ke rumahnya di Kampung Pengadang Baru, di sini, kira-kira jam 6.45 pagi.

“Bagaimanapun, pemandu tersebut melarikan diri selepas kejadian dan pergi ke pejabat Trafik Kuala Terengganu, di sini, bagi membuat laporan berhubung kejadian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Jelasnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu yang menyebabkan kematian.

Arwah yang pernah dilantik sebagai Setiausaha Persatuan Bola Sepak Melayu Terengganu pada 2001 meninggalkan seorang balu dan enam anak lelaki.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here