Baru Nak Tunjuk ‘Power’, Kejap Lagi Terima Padah!

0
786

TULAR di media sosial sebuah rakaman memaparkan tindakan seorang pemandu kereta cuba menunjuk ‘power’ tetapi berakhir dengan tragedi yang tidak disangka-sangka.

Menerusi video berdurasi kurang daripada seminit itu, pemandu berkenaan dilihat memecut laju kemudiannya brek secara tiba-tiba ekoran terkejut melihat sekatan jalan raya yang dilakukan oleh beberapa anggota polis.

Dalam kejadian yang dipercayai berlaku di Petaling Jaya itu, pemandu tersebut dilihat melanggar pula seorang penunggang motosikal sehingga mengakibatkan mangsa melambung ke atas jalan raya.

Memetik sumber, MYNEWSHUB difahamkan insiden bermula apabila sebuah kereta dikatakan cuba ‘mencucuk’ kenderaan yang dipandu oleh perakam,  Meng Yek Lau  sekitar jam 3 pagi pada Khamis lalu.

Menurutnya, dia dalam perjalanan pulang selepas bertemu dengan sahabatnya di Jalan Klang Lama dan mendapati sebuah kereta secara tiba-tiba memecut dan mencucuk dari belakang.

“Sebelum kejadian, saya memandu secara perlahan untuk pulang ke rumah. Tiba-tiba ada sebuah kereta memecut laju dari jauh dan ‘mencucuk’ kereta saya dari arah belakang.

“Saya pun berikan dia laluan, tetapi dia seolah-olah ingin mencari masalah dan mula menekan brek beberapa kali ketika berada di depan kereta saya,” katanya ketika dihubungi oleh mStar Online.

Jelasnya lagi ekoran enggan terlibat dengan kejadian yang tidak diingini, dia segera memintas pemandu tersebut sehingga hilang daripada pandangan.

Bagaimanapun, dia tidak menyangka pemandu ‘gila’ terbabit bertindak mengulangi tindakan itu sekali lagi sehingga hilang kawalan lalu melanggar seorang penunggang motosikal.

“Saya nampak penunggang itu melambung ke atas jalan raya dan bangun selepas dia dilanggar.

“Kemudian pihak polis datang memberikan bantuan kepada mangsa dan turut bercakap dengan pemandu yang melanggarnya. Saya tidak pasti apa yang berlaku selepas itu,” jelasnya.

Video yang dikongsi sejak semalam itu menerima pelbagai reaksi daripada orang ramai di media sosial.

Di mana rata-rata antara mereka melontarkan rasa simpati terhadap penunggang motosikal yang menjadi mangsa kepada tindakan tidak bertanggungjawab pengguna jalan raya yang lain.

 

Video tersebut terus menjadi viral dan sehingga kini ia telah menerima lebih daripada 500,000 tontonan di laman Facebook. –MYNEWSHUB.CC/AM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here