Barang kemas RM15,000 bertukar wang syiling RM2.20

0
452

WARGA emas kerugian RM15,000 selepas barang kemasnya dilarikan dua warga Indonesia yang menyamar sebagai bomoh di Bandar Gua Musang, 10.45 pagi semalam.

Hasnah Draman, 63, dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Jeram Tekoh, berkata, sebelum kejadian dia berada di depan kedai berhampiran pasar minggu bandar ini.

Katanya, dia didatangi dua lelaki berusia 30 dan 40 tahun yang menggunakan dialek Indonesia bertanya lokasi kedai buku agama.

“Mereka kemudian bertanya sama ada mak cik ada menghidap apa-apa penyakit kerana dilihat seperti keletihan. Mak cik hanya beritahu menghidap penyakit asma dan sakit urat sebelum salah seorang lelaki memintanya mengenggam objek hitam yang diberikan.

“Beberapa minit kemudian mereka minta semula objek itu dan memintanya menyerahkan barang kemas termasuk dua cincin, satu gelang dan satu rantai sebagai syarat untuk sembuhkan penyakit.

“Lelaki itu berkata, barang kemas itu akan dipulangkan semula dalam satu sampul surat berwarna coklat yang hanya boleh dibuka dalam keadaan berwuduk,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, pada mulanya, dia enggan berbuat demikian, namun selepas didesak dia menyerahkan barang kemas terbabit.

“Selepas menyerahkan sampul surat itu, dua lelaki itu menuju ke Stesen Bas di Bandar Baru, manakala mak cik terus ke Hospital Gua Musang untuk menziarah jiran. Ketika itu, baru mak cik buka sampul surat itu dan terkejut mendapati hanya terdapat duit syiling berjumlah RM2.20.

“Ketika itu baru mak cik sedar ditipu dan terus membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Gua Musang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Mohd Taufik Maidin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada mangsa.

“Kita sedang mengesan dua lelaki terbabit dan setakat ini belum membuat sebarang tangkapan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here