Banjir: Enam jalan di Kemaman ditutup pagi ini

0
2051

KEMAMAN – Banjir yang melanda Kemaman sejak petang semalam menyebabkan enam laluan dan jambatan ditutup kepada kenderaan sejak pukul 8 pagi hari ini selepas dinaiki air.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Jalan Kampung Tempurung menuju ke Pasir Minar yang dinaiki air setinggi dua meter ditutup kepada semua jenis kenderaan pada jarak 200 meter.

Jambatan Teladas di Kampung Air Putih yang turut dinaiki air sehingga 0.5 meter pagi ini turut ditutup kepada semua jenis kenderaan.

“Jalan Batu 10, Jalan Sungai Pinang dan Jalan Pasir Gajah-Kampung Laut yang dinaiki air pada paras 0.5 meter hanya ditutup kepada kenderaan kecil sahaja pada jarak antara 10 hingga 30 meter.

“Jalan dari Kampung Paman menuju ke Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) turut ditutup kepada kenderaan kecil berikutan dilimpahi air setinggi 0.4 meter,” menurut kenyataan tersebut.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Terengganu mencatatkan kenaikan paras air Sungai Dungun di Stesen Jambatan Jerangau dengan bacaan semasa 11.62 meter berbanding aras waspada setinggi 10.90 meter.

Dalam pada itu, paras air di Stesen Kampung Air Putih, Kampung Tebak, Kampung Pasir Raja, Kampung Jengai, Kampung Langkap dan Kampung La menunjukkan penurunan. – K! ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here