#Bajet2018 : Pertama Kali Petani Dapat Peruntukan Tertinggi RM6.5 Bilion

0
271

Pertama kali dalam sejarah belanjawan negara, kelompok pesawah dan petani akan menerima peruntukan paling besar apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan kepada kumpulan itu ketika berucap membentangkan Bajet 2018 di Parlimen hari ini.

Peruntukan terbesar itu berjumlah RM6.5 bilion akan diberikan kepada kumpulan pesawah, petani, peladang, nelayan, pekebun kecil, penternak dan penoreh getah.

“Justeru, buat pertama kali dalam sejarah Bajet negara, saya dengan penuh prihatin mengumumkan peruntuk paling besar kepada kelompok pesawah, petani, peladang, nelayan, pekebun kecil, penternak dan penoreh getah sebanyak RM6.5 bilion,” kata Najib.

Daripada jumlah itu, Najib berkata sebahagian besar disediakan untuk bantuan dan insentif seperti baja.

“RM2.3 bilion ringgit bagi bantuan dan insentif seperti baja, dan input pengeluaran kepada pesawah, pekebun kecil getah dan nelayan.

“Hampir 500 juta ringgit bagi menambah infrastruktur pengairan di kawasan pertanian dan menaik taraf jalan ladang.

“Hampir 200 juta ringgit bagi program penanaman semula getah dan menyediakan kemudahan infrastruktur dengan meningkatkan pengeluaran latex berbanding cup lump, sekaligus meningkatkan pendapatan para pekebun kecil.

“Hampir 140 juta ringgit bagi program pembangunan dan penanaman semula kelapa sawit termasuk promosi,” katanya ketika membentangkan bajet berkenaan.

Khabar itu adalah khabar gembira untuk para petani yang bertungkus-lumus membanting tulang menanam pengeluaran makanan dalam negara untuk kegunaan rakyat Malaysia.

Sementara itu, Najib juga mengumumkan buat pertama kali bantuan kepada pesawah padi secara bulanan sementara menunggu hasil tanaman padi dituai.

“Selain penoreh getah dan nelayan yang dikekalkan bantuan-bantuannya, pada Bajet kali ini, buat pertama kalinya, saya juga ingin mengumumkan bantuan sebanyak 200 ringgit sebulan bagi tempoh tiga bulan sementara menunggu hasil tuaian padi, dengan peruntukan hampir 150 juta ringgit pada pesawah padi,” katanya.

Pengumuman itu mendapat sorakan gemuruh dari wakil rakyat Barisan Nasional (BN) berbanding wakil rakyat pembangkang yang terdiam apabila mendengar pengumuman Najib yang membentangkan satu Bajet untuk negara yang lengkap dan menyeluruh. – sumber bicara.news

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here