#BAJET2018: PENCETUS EKONOMI MELALUI INDUSTRI PELANCONGAN KESIHATAN

0
183

Pada pembentangan Bajet 2018 yang telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan telah memperkenalkan Program Flagship Medical Tourism Hospital yang akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi Malaysia ke atas pelancongan kesihatan.

Galakan ini memberikan satu dimensi baru kepada ekonomi negara apabila Bajet 2018 memperuntukan sebanyak RM30 juta ke atas industri pelancongan kesihatan negara. Ini sejajar dengan Pelan Tindakan Ekonomi Negara yang mengiktirafkan industri ini sebagai satu sumber utama penyumbang kepada ekonomi negara.

Sokongan kerajaan melalui Bajet 2018 ini membantu industri pelancongan kesihatan ini menjadi sebahagian daripada Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) serta mampu memacu ekonomi ke tahap lebih baik dan menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Atas sasaran Program Flagship Medical Tourism Hospital , sejumlah 74 buah hospital swasta yang berdaftar di negara akan turut mendapat manfaat dan menjadikan salah satu strategi terbaik dalam mempromosi serta memperkenalkan industri pelancongan kesihatan kepada negara-negara lain di Asia Tenggara.

Berdasarkan statistik, Malaysia menerima kemasukan lebih daripada 921,500 pelancong kesihatan yang mendapatkan rawatan di hospital Malaysia. Secara perbandingan pada tahun lepas sahaja sebanyak RM4 – 5 billion pendapatan dari industri ini telah berjaya diperolehi.

Berdasarkan Bajet 2018 yang telah dibentangkan,

a) Mempromosi Malaysia sebagai “Hab Rawatan Kesuburan, Termasuk IVF, dan Kardiologi Asia”, yang akan diperluaskan dengan kemudahan eVisa dan pakej perkhidmatan kesihatan bernilai tinggi;

b) Memperkenalkan Program Flagship Medical Tourism Hospital yang menawarkan insentif khusus kepada hospital swasta bagi menarik pelancong kesihatan;

c) Galakan elaun cukai pelaburan sebanyak seratus peratus bagi pelancongan kesihatan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020;

d) Potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan mendapatkan pensijilan kualiti daripada Badan pensijilan akreditasi kualiti perkhidmatan kesihatan, bagi perkhidmatan pergigian dan ambulatori yang berdaftar dengan MHTC; dan

e) Insentif khas pengecualian cukai dinaikkan daripada 50 peratus ke 100 peratus dari nilai peningkatan eksport, bagi perkhidmatan jagaan kesihatan swasta sahaja, mulai tahun taksiran 2018 hingga 2020.

Sherene Ali yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dari Maj¬lis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) amat teruja dengan pengumuman ke atas sektor pelancongan kesihatan ini. Beliau menambah, “insentif ini memberikan satu kebaikan dalam mempromosi Malaysia sebagai Hub Rawatan Kesuburan, Termasuk IVF, dan Kardiologi Asia dan menjadikan sebagai penanda aras kecemerlangan perubatan menerusi kepakaran yang unik yang diperolehi melalui insentif ini.”

Menurut sumber dari Medical Travel Quality Assurance, Prince Court Medical Centre Kuala Lumpur sudahpun tersenarai 10 hospital pelancongan terbaik. Galakan dari kerajaan ini seharusnya diterima baik bagi menggalakkan lebih banyak hospital di Malaysia mendapat pengiktirafan sebagai hospital terbaik di dunia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here