Bahagian 2 : BENTERAS PENYELEWENGAN BAGI PEMULIHAN HASIL NEGARA

0
240

Apabila tertubuhnya Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara (NRRET), di mana pasukan yang diketuai oleh Peguam Negara Malaysia (AGC) dan turut serta dianggotai oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), impak ke atas pematuhan perundangan dan penguatkuasaan dilihat lebih berkesan.

Wujudnya kerjasama operasi rentas agensi ini yang dijalankan seperti Ops Gasak yang bertujuan membenteras penyelewengan LPG bersubsidi di negara ini memberikan satu gambaran peningkatan kecekapan di kalangan agensi kerajaan yang ditubuhkan.

Menerusi operasi berterusan ini, KPDNKK dan NRRET telah berjaya mematahkan 198 percubaan menyeleweng LPG bersubsidi dengan nilai pampasan yang dianggarkan berjumlah RM5.763 juta pada tahun 2015.

Pada tahun ini pula NRRET telah berjaya mencatatkan kejayaan besar apabila berjaya memperoleh semula hasil negara bernilai jutaan ringgit menerusi serbuan-serbuan yang dijalankan.

Serbuan ke atas sembilan premis sekitar Lembah Klang yang mempunyai kaitan dengan Koperasi Dinar Dirham Berhad kerana disyaki mengambil deposit haram. Sebanyak lapan buah kenderaan bernilai RM1.5 juta disita dalam operasi berkenaan dan BNM membekukan 114 akaun dari 12 bank berjumlah RM15.3 juta. Ini termasuk sejumlah wang tunai dan mata wang asing berjumlah RM1.4 juta turut dirampas selain menyita logam seberat 22.5 kilogram (kg).

Menurut laporan terbaru LHDNM dikatakan 13 jutawan antara individu sedang diburu kerana mengelak membayar cukai. Berdasarkan anggaran kasar, jumlah tunggakan cukai kesemua individu itu dianggarkan hampir RM50 juta dalam tempoh kurang dua tahun.

LHDNM juga turut menyita deposit tetap seorang Pengerusi Eksekutif sebuah syarikat sebanyak RM126 juta yang di simpan di dalam bank bagi tujuan menjelaskan tunggakan cukai yang perlu dibayar syarikat tersebut.

Kerjasama erat antara PDRM, JKDM, SPRM dan pihak berkuatkuasa tempatan dalam memastikan pengkalan data dikemas kini dan tepat memudahkan penguatkuasaan dan pengauditan serta siasatan dijalankan.

Dari Januari hingga 9 Mei, LHDNM melakukan empat operasi besar-besaran di seluruh negara. Ops Kutip antaranya, kempen dua hari ini dilaksanakan bagi mengutip cukai tidak dibayar sejak 2015 telah dilancarkan. Seramai 592 pegawai LHDNM terlibat dalam operasi tersebut untuk mengutip kira-kira RM326 juta yang tertunggak sejak dua tahun lalu.

LHDNM menyasarkan untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 90 peratus daripada jumlah tunggakan itu pada Disember ini. Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM, Datuk Sabin Samitah berkata, bermula tahun ini, inisiatif yang dibuat bertujuan untuk memudahkan pematuhan dan mengelak ketidakpatuhan.

Ujar beliau lagi, LHDNM akan memperbaiki proses pemungutannya sambil memastikan tindakan undang-undang yang lebih cepat terhadap mereka yang mengelak membayar cukai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here