Baddrol Bakhtiar bolot tiga anugerah ABK 2017

0
631

PETALING JAYA: Tahun 2017 jelas menjadi detik gemilang buat perancang tengah Kedah, Baddrol Bakhtiar apabila meraih tiga anugerah termasuk anugerah utama, Pemain Paling Bernilai dalam majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2017 (ABK 2017) yang berlangsung di sini, sebentar tadi.

Selain meraih anugerah utama ABK 2017 itu, pemain tengah kebangsaan itu turut dinobatkan sebagai Pemain Tengah Terbaik dan Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super musim ini dengan menyumbat sembilan gol.

Pengiktirafan yang diterima pemain berusia 29 tahun itu susulan kejayaannya membantu Helang Merah merangkul Piala Sumbangsih dengan menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) selain muncul juara Piala FA dengan menundukkan Pahang.

Tidak cukup dengan kejayaan Baddrol itu, pasukan Kedah juga mendominasi dua lagi anugerah apabila penjaga golnya, Ifwat Akmal Chek Kassim dipilih sebagai Penjaga Gol Terbaik, manakala perancang tengah dari Kosovo, Liridon Krasniqi dinobatkan Pemain Import Terbaik.

Kedah terus mendominasi majlis anugerah itu apabila turut meraih tiga anugerah sampingan iaitu Penyokong Terbaik, Pasukan Terbaik selain Krasniqi turut dinobatkan sebagai Pemain Paling Popular musim ini.

Baddrol ketika ditemui berkata, anugerah terbabit memang sudah lama menjadi impiannya dan kini dia mengakui puas selepas berjaya merangku gelaran Pemain Paling Bernilai itu.

“Saya bersyukur kepada Allah dan saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua yang selama ini menyokong perjalanan karier saya.

“Anugerah ini sudah pasti akan menjadi pemangkin semangat untuk saya memberikan aksi yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Pemain Kedah, Badddrol Bakhtiar (tengah) memenangi anugerah pemain paling bernilai, pemain tengah terbaik dan penjaring terbanyak liga super (tempatan) bersama pemenang pemain import terbaik dan pemain paling popular, Liridon Krasniqi (kiri) dan penerima kasut emas, Guilherme de Paula (kanan) dari Kuala Lumpur pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2017 di Hotel One World.

Sementara itu, anugerah Pemain Pertahanan Terbaik menjadi milik bek kanan Pahang, Matthew Davies sementara penyerang PKNP FC, Shahrel Fikri menewaskan Amri Yahyah dan Syafiq Ahmad untuk merangkul anugerah Penyerang Terbaik.

Seperti dijangka, bekas jurulatih kebangsaan, B Sathianathan yang mengendalikan FELDA United muncul selaku Jurulatih Terbaik sementara bekas pertahanan Selangor yang menyertai skuad Harimau Selatan musim depan, Adam Nor Azlin meraih gelaran Pemain Muda Harapan.

Bagi anugerah lain, pemain import JDT, Mohammed Ghaddar mengesahkan status selaku penggempur berbisa Liga Super dengan 23 gol sekali gus melayakkan penyerang Lubnan itu merangkul gelaran Penjaring Terbanyak Liga Super.

Penjaring Terbanyak Liga Perdana pula menjadi milik penyerang Kuala Lumpur, Guillherme de Paula yang menjaringkan 27 gol buat skuad The Hawks itu.

Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Perdana pula menjadi milik penyerang Kuantan FA, Abdul Malik Mat Ariff yang meledak 15 gol sementara pendatang baharu Liga Perdana, T-Team FC dianugerahkan Anugerah Fair Play.

SENARAI PEMENANG ANUGERAH BOLASEPAK KEBANGSAAN 2017

Pemain Paling Bernilai

– Baddrol Bakhtiar (Kedah)

Penjaga Gol Terbaik

– Ifwat Akmal Chek Kassim (Kedah)

Pertahanan Terbaik

– Matthew Davies (Pahang)

Pemain Tengah Terbaik

– Baddrol Bakhtiar (Kedah)

Penyerang Terbaik

– Shahrel Fikri Fauzi (PKNP FC)

Pemain Import Terbaik

– Liridon Krasniqi

Pemain Muda Harapan

– Adam Nor Azlin (Selangor)

Jurulatih Terbaik

– B Sathianathan (FELDA United)

Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super

– Baddrol Bakhtiar

Penjaring Terbanyak Import Liga Super

– Mohammed Ghaddar

Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Perdana

– Abdul Malik Mat Ariff (Kuantan FA)

Penjaring Terbanyak Import Liga Perdana

– Guillherme de Paula (Kuala Lumpur)

Pemain Paling Popular

– Liridon Krasniqi (Kedah)

Pemain Paling Mesra

– N Thanabalan (FELCRA FC)

Anugerah Komuniti

– Sunny Shalesh (Pan-Disability Football Malaysia)

Anugerah Fair Play

– T-Team

Penyokong Terbaik

– Kedah

Pasukan Bola Sepak Terbaik

– Kedah

Laman Web Terbaik

– Selangor

Laman Sosial Terbaik

– Kedah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here