Asal usul nama Kampung Sungai Derhaka, Kuala Terengganu

0
2093

KEUNIKAN nama Kampung Sungai Derhaka masih menimbulkan banyak persoalan dalam kalangan orang ramai, walaupun kewujudan kampung terbabit di Kuala Terengganu bukanlah baharu.

Antara persoalannya, kenapa sungai terbabit dikaitkan dengan derhaka sedangkan ia lebih sinonim dengan sikap manusia, berbanding sungai yang tiada perasaan gembira, sedih apatah lagi untuk bersikap derhaka.

Pengerusi JKKK Sungai Derhaka, Mat Zain Embong berkata, sehingga kini, nama kampung di bawah seliaannya itu menjadi perhatian banyak pihak, namun asal-usul kampung yang dibuka pada 1864 itu tiada kaitan dengan sikap antagonis pernah dilakukan manusia.

“Kaitan sungai itu bukanlah sebagaimana batu belah batu bertangkup ataupun Si Tanggang. Ia tiada kaitan sama sekali dengan sikap derhaka mana-mana pihak,” katanya di kediamannya di Kampung Sungai Derhaka, di sini.

Asal-usul Sungai Derhaka

Mengimbau sejarah nama kampung itu, kata Mat Zain, berdasarkan cerita dari mulut ke mulut, nama Sungai Derhaka diambil berdasarkan aliran sungai kecil di kampung itu yang mengalir cukup deras ke Sungai Ibai atau sungai ‘ibu’.

Sungai Derhaka merupakan ‘parit air buang’ yang panjangnya 1.9 kilometer (km) bagi tujuan penanaman padi yang menjadi aktiviti ekonomi utama penduduk sekitar pada zaman dahulu.

Menurutnya, kederasan aliran sungai kecil atau parit air buang itu ke Sungai Ibai, menghasilkan kocakan keras hingga menyebabkan air berombak.

Melalui pemerhatian orang tua-tua, tindakan sungai kecil yang bertembung kasar dan melanggar sungai lebih besar daripadanya dianggap sebagai bersikap derhaka dan mereka kemudiannya memanggilnya sungai derhaka yang kekal disebut sehingga hari ini.

“Lajunya sungai ini sehingga ia langgar ibu sungai. Kelajuan dan kederasan air bertembung dengan sungai menyebabkan tekanan arus kuat. Ini kerana sungai derhaka terima limpahan air dari kawasan penanaman padi,” katanya.

Menurut Mat Zain lagi, Sungai Derhaka dahulu mempunyai keelokan, kejernihan, kedalaman dan terjaga sehingga orang kampung boleh mandi-manda, namun sungai itu kini sudah bertukar wajah menjadi lesu, keruh, kotor dan dikelilingi semak-samun.

Katanya, keadaan itu berlaku disebabkan tiada aliran keluar masuk dari kawasan itu menyebabkan kebersihan air tidak sebagaimana sepatutnya, walaupun aktiviti kebersihan sungai sentiasa dilaksanakan.

Pertahan nama Sungai Derhaka

Mat Zain berkata, beliau akan tetap mempertahankan nama Sungai Derhaka kerana menganggap ia mempunyai keunikan tersendiri.

Beliau menegaskan perkara itu kerana ada beberapa pihak khususnya orang luar mencadangkan agar nama tersebut ditukar kepada nama lain yang lebih baik.

“Pernah ada pandangan pihak luar suruh tukar nama kampung ini sebab Sungai Derhaka tidak elok, tetapi kita bincang dengan JKKK dan orang kampung. Tidak silap pun nama Sungai Derhaka kerana kita bukannya ada legenda anak derhaka, jadi kita kekalkan.

“Kalau tukar nama, sudah tentu mereka letak nama kampung bahagialah dan macam-macam, jadi hilanglah keunikannya. Apabila kita tanya orang kampung, semua mahu pertahan Sungai Derhaka,” katanya.

Dalam usaha mempertahankan nama kampung itu, JKKK juga mempunyai perancangan untuk memastikan Sungai Derhaka terjaga supaya sejarahnya tidak ditelan zaman.

Menurut beliau, pihaknya pernah membuat permohonan bertulis kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) agar membuka semula laluan asal sungai itu yang disekat akibat pembinaan ‘bam air’ suatu masa dahulu untuk menyekat kemasukan air masin ke kawasan padi.

Katanya, memandangkan aktiviti pertanian sawah padi sudah tidak wujud, bam dan pintu air sudah tidak diperlukan lagi di kawasan itu.

“Apabila dibuat bam, aliran sungai tertutup kemudian dibina pintu air supaya apabila air masuk ke kawasan padi, air boleh di pam semula ke sungai. Apabila tiada air, pintu ditutup supaya air pasang ia tidak masuk ke padi. Tetapi disebabkan sudah tiada aktiviti tanam padi, secara tidak langsung sungai menjadi lesu.

“Kita ada cadang kepada JPS untuk buka laluan asal sungai dan bina jambatan baru. Apabila ada laluan, sungai itu terima laluan keluar masuk air. Setidak-tidaknya air itu bertukar lebih bersih,” katanya.

Pembangunan di Sungai Derhaka

Dengan kepadatan penduduk berjumlah kira-kira 1,000 orang, aktiviti utama penduduk yang dahulunya berasaskan padi sudah bertukar wajah apabila kebanyakan mereka bekerja sendiri, berkhidmat dengan sektor kerajaan dan swasta serta menjalankan projek fertigasi.

Antara projek fertigasi itu adalah pertanian rockmelon sebanyak 8,000 polibeg melibatkan empat peserta dan juga timun batang melibatkan 2,000 polibeg.

Sementara itu, kata Mat Zain, di bawah pelan aspirasi rakyat, pihaknya sedang merancang pembangunan melibatkan keluasan 6.07 hektar tanah, antaranya penempatan perusahaan keropok, tapak fertigasi, pembinaan bangunan kedai lot empat pintu, klinik desa, gelanggang futsal, bangunan Tadika Kemas dan pemulihan semula balai raya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here