Adun PAS Kedah Keluar Parti

0
566

lAnggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit Datuk Amiruddin Hamzah dari PAS hari ini mengumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Amiruddin yang juga ketua pembangkang DUN Kedah mengumumkan perkara itu pada sidang media yang disiarkan secara langsung melalui Facebook.

Beliau berkata, keputusannya itu kerana merasakan BN hanya dapat dihadapi melalui gabungan pembangkang yang erat seperti yang dibuktikan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum (PRU) ke-12 dan ke-13.

“Saya berpandangan kita harus menghadapi PRU akan datang dalam keadaan padu dan kukuh seperti itu untuk berhadapan BN.

“Yang penting kita berada dalam kesepakatan yang padu dan ini saya lihat dapat dicapai dalam Pakatan Harapan (HARAPAN),” katanya.

Justeru selepas perbincangan dengan pihak terdekat, beliau berkata memutuskan untuk bersama HARAPAN melalui BERSATU.

Amiruddin adalah pengganti allayarham Datuk Fadzil Noor di DUN Anak Bukit, selepas menang dalam pilihan raya kecil di sana pada 2002 berikutan kematian bekas presiden PAS itu.

Sidang media turut dihadiri Timbalan Presiden BERSATU Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Ketua BERSATU Kedah, dan pimpinan negeri.

Amiruddin berkata, beliau pernah berjumpa dengan pesuruhjaya PAS Kedah untuk memastikan sama ada masih wujud kemungkinan PAS bekerjasama dengan HARAPAN.

Katanya, beliau mendapat pengesahan bahawa kerjasama itu “hampir mustahil” untuk berlaku.

Sebelum ini, Amiruddin dilihat sebagai antara pemimpin PAS yang cenderung terhadap parti serpihannya, Parti Amanah Negara (AMANAH).

Ketika ditanya mengapa beliau memilih untuk memilih BERSATU dan bukannya AMANAH, secara berseloroh Amiruddin berkata beliau adalah pengecualian dalam soal itu.

“Saya tak tahu kalau keluar PAS mesti masuk AMANAH. Kalau benar pun, pasti ada pengecualian, maka saya adalah pengecualian (untuk tanggapan itu).

Dengan penyertaan itu, HARAPAN kini memiliki sembilan ADUN di Kedah dan PAS pula tinggal tujuh.

Namun, PAS masih parti pembangkang yang mempunyai bilangan ADUN paling ramai di negeri itu. BN selaku kerajaan negeri pula memiliki 20 ADUN. – MK

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here